Sejarah
Awal
Sejarah pentadbiran Islam di Negeri Pulau Pinang
agak berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Perbezaan
ini berpunca daripada sejarah pembentukan dan struktur masyarakat Islam
Pulau Pinang khususnya dan juga dasar-dasar Inggeris yang memerintah Pulau
Pinang sejak tahun 1786.
Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling
lewat mempunyai badan pentadbiran Islam. Sejarah perkembangan masyarakat
Islam Pulau Pinang menarik terutama berkenaan dengan kehidupan mereka sejak
ia mula terbentuk sehingga ke abad ke 20, sama ada terlibat dengan perkumpulan
agama yang diragui kebenarannya atau perkumpulan yang menuntut pembaharuan
ke arah kesyumulan Islam. Penubuhan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri
Pulau Pinang.
Sejarah penubuhan Majlis Agama Islam dan Jabatan
Agama Islam Negeri Pulau Pinang, prosesnya agak lewat. Biar pun cadangan
dan permohonannya telah dibuat pada tahun 1950, tetapi hanya pada tahun
1955 barulah dapat dibentuk satu jawatankuasa untuk mengkaji tentang penubuhannya
oleh kerajaan negeri. Dua tahun berikutnya pula sebuah lagi jawatankuasa
khas di bentuk atas tujuan yang sama dan akhirnya pada 15.4.1959 telah
diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang suatu undang-undang
bagi membolehkan penubuhan Majlis Agama Islam Pulau Pinang iaitu "Undang-Undang
Pentadbiran Ugama Islam tahun 1959". Berikutan daripada itu, Majlis Agama
Islam Pulau Pinang, dan Seberang Perai akhirnya telah dapat ditubuhkan
dengan rasminya pada 28.7.1960.
Dengan tertubuhnya Majlis Agama Islam Pulau Pinang
masyarakat Islam mempunyai sebuah badan rasmi yang akan menguruskan hal
ehwal agama bagi mereka sesuai dengan objektif Majlis. Yang Di Pertua Majlis
Agama Islam yang pertama telah di lantik iaitu Allahyarham Tuan Haji G.M.
Yusuff yang memegang jawatan sehingga pertengahan tahun 1962.
Pentadbiran Masa Kini
Melihat kepada situasi dan perkembangan semasa
yang kian mencabar, fungsi dan objektif Jabatan Agama Islam, Negeri
Pulau Pinang yang bertanggungjawab menguruskan pentadbiran Islam
di Negeri Pulau Pinang diberi nafas baru dengan beberapa pembaharuan dilaksanakan. Pada
25 April 1993, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam, Negeri Pulau
Pinang 1993 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan
dikuatkuasakan pada 1 Jun 1994.
Apabila Enakmen ini diluluskan Jabatan
Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah mengorak langkah dengan begitu drastik
dan radikal dengan penyusunan semula pentadbiran Islam dalam beberapa aspek
seperti pengasingan kuasa, objektif dan matlamat organisasi, penambahan
kakitangan dan sebagainya. Sehubungan dengan itu tiga badan atau
institusi utama diberi tanggungjawab dalam aspek-aspek khusus telah dibentuk
untuk melaksanakan pembaharuan ini, iaitu:-
-
Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
-
Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
-
Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang.
-
Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.
|