|

Sejarah
pentadbiran Islam di Pulau Pinang agak berbeza jika dibandingkan dengan
negeri-negeri Melayu yang lain. Perbezaan ini berpunca daripada sejarah
pembentukan dan struktur masyarakat Islam Pulau Pinang khususnya dan juga
dasar-dasar Inggeris yang memerintah Pulau Pinang sejak 1786. Pulau Pinang
adalah antara negeri yang paling lewat mempunyai badan pentadbiran Islam.
Sejarah masyarakat Islam Pulau Pinang menarik terutama berkenaan dengan
corak kehidupan mereka sejak ia mula terbentuk sehingga ke abad ke 20,
sama ada terlibat dengan perkumpulan agama yang diragui kebenarannya dan
pada awal abad yang ke 20 pula ia menjadi pusat gerakan para reformis.
Rencana ini ditulis adalah
bertujuan untuk menyingkap kembali sejarah pembentukan komuniti Islam Pulau
Pinang dan suasana kehidupan masyarakat serta badan-badan atau jawatan-jawatan
yang berkaitan dengan pentadbiran Islam di negeri tersebut. Tidak
ketinggalan, rencana ini juga akan meninjau dasar Inggeris yang berkaitan
dengan Islam kerana ianya mempunyai pengaruh yang besar di atas kemunculan
masalah-masalah sosial masyarakat Islam dan kelemahan pentadbiran Islam
di negeri itu sebelum merdeka.
Pembentukan awal komuniti
Islam Pulau Pinang.
Kebanyakan pengkaji-pengkaji
sejarah Pulau Pinang menyatakan bahawa sebelum pembukaan Pulau Pinang oleh
Kapten Francis Light pada Julai 1786, pulau itu hanya di penuhi dengan
hutan belantara dan hampir tidak berpenghuni, kalau ada pun hanya sebilangan
kecil orang Melayu sahaja. Namun begitu, ada juga yang menyatakan
bahawa sebelum Francis Light mendarat di pulau itu, ianya telah duduki
oleh orang Melayu di kawasan-kawasan tertentu yang bekerja sebagai nelayan,
pedagang, pelebur timah dan juga yang menjadi lanun. Kenyataan ini diperkuatkan
lagi dengan laporan yang menyebut bahawa rombongan Inggeris itu telah bertemu
dengan sekumpulan penduduk di tepi pantai di kawasan yang dikenali sebagai
Datuk Kramat. Mereka ini terdiri daripada laki-laki, perempuan dan kanak-kanak
yang diketuai oleh seorang laki-laki yang dikenali sebagai Nakhoda Kechil.
Dalam laporan yang lain pula menyatakan bahawa Pulau Pinang telah diduduki
oleh sekumpulan orang Melayu sejak dari tahun 1705 lagi, iaitu di kawasan
tebing selatan Sungai Pinang.
Daripada catatan itu adalah
jelas bahawa penduduk terawal Pulau Pinang adalah orang Melayu sama ada
yang berhijrah dari Semenanjung mahu pun dari kepulauan Melayu Yang lain.
Namun begitu, dalam perkembangan Pulau Pinang yang semakin meningkat di
bawah pentadbiran Inggeris, orang-orang Melayu jauh ketinggalan berbanding
dengan kaum lain yang datang kemudiannya. Bukanlah menjadi hasrat rencana
ini untuk membincangkan faktor-faktor yang membawa kepada kepincangan ini,
tetapi tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan kerajaan Inggeris adalah
besar sekali kerana ada yang menyebutkan bahawa hubungan kerajaan Inggeris
dan masyarakat Melayu hampir tidak ada langsung berbanding dengan kaum
Cina dan India terutamanya.
Dari segi perkembangan kependudukannya,
ketandusan penduduk di Pulau Pinang telah berubah wajah apabila pulau itu
cuba dimajukan oleh pihak Inggeris sebagai sebuah pelabuhan perdagangan
bebas yang utama di Nusantara. Pulau Pinang mula dibanjiri oleh berbagai-bagai
jenis kaum dan bangsa yang berkebanyakannya bertujuan untuk berdagang dan
tidak kurang juga yang mencari penempatan baru. Situasi ini bertepatan
dengan matlamat Francis Light yang ingin melihat Pulau Pinang maju dari
segi perdagangan. Menurut L. A. Mills penduduk Pulau Pinang bertambah
pesat, dalam tempoh dua tahun selepas penerokaannya. Penduduk pulau
itu telah bertambah kepada 1,000 orang dan sehingga tahun 1804 pula ia
meningkat menjadi 12,000.
Mereka yang berhijrah ke
Pulau Pinang adalah terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan bangsa, kebanyakannya
daripada Asia. Sejumlah besar adalah daripada orang Melayu yang datang
daripada Semenanjung Tanah Melayu, diikuti oleh orang India, Cina dan sejumlah
kecil orang Arab, Inggeris, Jawa, Bugis dan lain-lain. Bilangan orang Melayu
meningkat apabila meletusnya Perang Kedah Siam pada tahun 1821 apabila
beribu-ribu penduduk Melayu Kedah melarikan diri ke Pulau Pinang. Taburan
kependudukan adalah mengikut kaum dan bangsa. Secara kasarnya, orang-orang
Melayu menetap di kawasan pendalaman dan mereka menjalankan aktiviti pertanian
untuk menampung sara hidup mereka seperti bersawah padi. Sementara
itu, orang-orang India, Cina, Arab dan Inggeris tinggal di kawasan bandar
dan bergiat cergas dalam lapangan perniagaan dan perdagangan. Taburan
penduduk sebegini rupa adalah merupakan satu fomena yang biasa bagi negeri-negeri
lain di Semenanjung Tanah Melayu. Orang-orang Melayu lebih berminat
untak tinggal di luar-luar bandar dan menjalankan kegiatan ekonomi tradisi
sebagai punca pendapatan.
Daripada situasi ini bolehlah
dikatakan bahawa komuniti penduduk Pulau Pinang adalah sebuah komuniti
yang baru terbentuk akibat dasar Inggeris. Masing-masing merupakan
golongan yang berhijrah. Kemudian daripada itu barulah mereka membentuk
komuniti masing-masing di daerah yang dipilih. Bagi masyarakat Islam
amnya dan Melayu Pulau Pinang khasnya, keadaan mereka berbeza dengan masyarakat
Islam di negeri-negeri Melayu yang lain, kecuali Melaka dan,Singapura.
Selain daripada hilangan mereka yang kecil, mereka tidak mempunyai raja
atau Sultan sebagai pemerintah utama. Mereka tidak mempunyai elit
tradisional, bahkan masyarakatnya tidak mempunyai struktur masyarakat yang
berperingkat-peringkat seperti di negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung.
Berkenaan dengan status agama Islam,
|
"The states were Muslim
long before the advent of the British, with a vast Muslim majority: Besides,
the Settlements were a Crown Colony directly under the British government
while the States were linked to Whitehall by treaty: they owed their development
to Britain, and the writs protecting Islam did not run". |
Situasi ini sebenarnya telah
meninggalkqn kesan yang tidak sedikit akibat daripada dasar-dasar Inggeris,
terutamanya yang berkaitan dengan pentadbiran Islam di Pulau Pinang dan
seterusnya memberi kesan yang besar kepada masyarakat Islam Pulau Pinang.
Masyarakat Islam Pulau Pinang
yang menjadi fokus dalam rencana ini, bukanlah golongan majoriti, walaupun
terdiri daripada pelbagai kaum. Selain daripada orang Melayu, masyarakat
Islam Pulau Pinang terdiri daripada orang India, Arab, peranakan India
dan Melayu yang dikenali juga dengan nama Jawi Pekan dan sedikit daripada
orang Cina. Seperti Yang telah disebutkan tadi, masyarakat Islam
ini hidup dalam kelompok masing-masing mengikut kaum. Contohnya,
orang Arab tinggal di kawasan Acheen Street, Malacca Street di pusat bandar
dan Batu Uban yang menjadi petempatan bagi orang Melayu dari Indonesia.
Manakala bagi orang-orang India Muslim pula, mereka memilih kawasan yang
berdekatan dengan pelabuhan dan bandar Georgetown sebagai tempat kediaman
seperti di Leboh Chulia, Leboh King, Jalan Kedah dan Lorong Hutton. Manakala
orang-orang Melayu pula lebih gemar tinggal di kawasan pendalaman seperti
di kawasan Balik Pulau, Batu Maung dan Bayan Lepas. Umumnya, daripada
corak hidup keterasingan ini menyebabkan tiada kesatuan atau perpaduan
yang wujud antara penduduk Islam ini, hatta dalam urusan agama juga mereka
terpisah oleh wujudnya guru agama dari kalangan mereka sendiri.
Dasar Inggeris mengenai
Islam dan kesannya ke atas suasana kehidupan masyarakat Islam Pulau Pinang.
Sebelum Pulau Pinang ditadbir
oleh Inggeris, penduduk asalnya tertakluk di bawah undang-undang dan pentadbiran
negeri Kedah kerana Pulau Pinang adalah sebahagian daripada negeri itu.
Apabila pulau itu diserahkan kepada Inggeris, maka untuk mentadbirnya dari
segi perundangan telah diperkenalkan piagam keadilan (charter of justice)
pada tahun 1807 yang dikatakan telah membawa undang-undang England ke Pulau
Pinang. Dengan kemasukan undang-undang ini, segala urusan yang berkaitan
dengan undang-undang adalah merujuk kepada undang-undang tersebut.
Walau bagaimanapun, undang-undang ini mengiktiraf undang-undang adat dan
agama dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan-perayaan agama dan soal-soal
perkahwinan selagi ianya tidak bercanggah dengan keadilan dan kemanusiaan.
Oleh yang demikian, masyarakat Islam Pulau Pinang khususnya tidak lagi
tertakluk kepada undang-undang hukum adat tempatan.
Untuk mengendalikan hal ehwal
penduduknya yang berbilang kaum itu, kerajaan Negeri-Negeri Selat telah
melantik seorang ketua daripada tiap-tiap kaum terutama tiga kaum yang
terbesar, iaitu Melayu, Cina dan India. Antara tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan
ke atas ketua-ketua ini ialah untuk mencatatkan tentang perkahwinan, kelahiran
dan kematian yang berlaku dalam kaumnya, ketibaan dan permergian orang-orangnya,
serta menyelia pihak polis di daerahnya. Boleh dikatakan bahawa tanggungjawab
ketua-ketua ini adalah untuk melaporkan tentang pertumbuhan penduduk kaumnya
serta sedikit berkenaan hal ehwal keselamatan.
Dasar British berkenaan dengan
hal ehwal Islam di Pulau Pinang adalah sama seperti dasarnya di negeri-negeri
Melayu lain. Namun begitu, oleh kerana wujudnya perbezaan yang ketara
dari segi struktur masyarakat Islam Pulau Pinang dengan masyarakat Islam
di negeri-negeri Melayu yang lain, maka implikasi dasar Inggeris itu menimbulkan
kesan dan suasana yang berbeza juga. Biarpun kerajaan Inggeris mengambil
pendirian untuk tidak mahu campurtangan dalam soal-soal agama dan adat
resam orang-orang Melayu, di negeri-negeri Melayu, ianya tidak menimbulkan
masalah besar. Ini adalah kerana pengendalian hal ehwal berkenaan
diserahkan kepada sultan-sultan yang menjadi ketua agama Islam di negeri
masing-masing dengan di bantu oleh pembesar-pembesarnya yang bertanggungjawab
dalam hal ehwal Islam dan masyarakatnya yang merupakan penduduk majoriti.
Untuk melicinkan pentadbiran ini tiap-tiap negeri ada majlis agama Islam
mereka sendiri yang mempunyai bidang kuasa yang agak besar juga.
Sebaliknya di Pulau Pinang,
masyarakat Islam negeri itu tidak mempunyai sultan atau pembesar untuk
menjadi ketua agama. Oleh yang demikian, dasar Inggeris yang tidak
mahu campurtangan dalam hal ehwal adat dan agama Islam itu telah menyebabkan
hal ehwal Islam penduduknya terbiar tanpa kawalan dan perhatian secara
rasmi daripada kerajaan yang memerintah dan mengikut haluan sendiri sahaja.
Walau bagaimanapun, dalam erti kata yang sebenarnya, masyarakat Islam Pulau
Pinang yang terdiri daripada beberapa etnik ini masih mempunyai ketua agama
masing-masing yang dipilih sendiri. Mereka ini terdiri daripada para
alim ulama seperti guru-guru agama, haji-haji dan lebai serta imam.
Merekalah yang menjadi rujukan dalam hal-hal agama. Dari segi pentadbiran
secara rasmi, kerajaan Inggeris ada melantik para qadhi dengan bidang tugas
yang terhad di sekitar pengendalian urusan nikah kahwin dan perceraian
bagi masyarakat Islam.
Jika ditinjau tentang kehidupan
beragama masyarakat Islam di Pulau Pinang, secara keseluruhannya ia boleh
digolongkan kepada dua kelompok yang besar tanpa mengira suku kaum.
Kelompok yang pertama ialah mereka yang patuh pada ajaran agama Islam dan
adat menurut apa yang mereka fahami. Dikatakan bahawa pada abad ke
19, masyarakat Melayu dalam kelompok ini kelihatannya menjadi pengikut
setia Islam adalah kerana ketua atau pemimpin mereka, walaupun sebenarnya
pengetahuan mereka mengenai agama anutan itu tidaklah mendalam dan
bercampur aduk dengan nilai-nilai tempatan. Oleh yang demikian, kita
akan dapat melihat fenomena wujudnya kelompok-kelompok masyarakat Islam
tertentu yang diketuai oleh guru-guru agama atau haji-haji yang berjaya
mendapat pengiktirafan dan penghormatan sebagai orang yang alim dalam hal
ehwal agama. Mereka inilah yang menjadi tempat rujukan dalam hal-hal
tersebut dan juga tempat untuk memperolehi perlindungan.
Ada ketikanya pengaruh guru-guru
agama atau haji-haji ini mengatasi pengaruh qadhi-qadhi yang dilantik oleh
kerajaan. Dua orang tokoh agama yang terkenal di Pulau Pinang pada
abad ke 19 boleh dijadikan sebagai contoh iaitu Haji Macawi dan Tuan Guru
Haji Abdul Ghani. Haji Macawi adalah seorang guru agama berketurunan
Arab dan menetap di Batu Uban. Beliau bukan sahaja berpengaruh dalam
kalangan penduduk Islam di Pulau Pinang, tetapi juga dihormati oleh pegawai-pegawai
Eropah, para pedagang dan juga peladang pada zamannya. Tuan Guru Abdul
Ghani pula muncul pada pertengahan abad ke 19 dan mempunyai pengaruh yang
besar selepas kematian Haji Macawi. Beliau adalah orang Melayu Yang
datang berhijrah dari Madura, Indonesia dan tinggal di Perak Road.
Berbeza dengan Haji Macawi, Tuan Guru Haji Abdul Ghani membentuk
perkumpulan agamanya yang tersendiri dan terasing daripada kelompok masyarakat
Islam yang lain. Ada di antara perkumpulan-perkumpulan agama ini yang dikatakan
mengamalkan ajaran agama yang menyimpang daripada ajaran Islam, contohnya
perkumpulan Taslim yang diketuai oleh Syed Muhammad Syafie sejak dari tahun
1870an.
Selain daripada menjadi pengikut
kepada mana-mana guru agama yang dipercayai alim, ada juga masyarakat Islam
yang hidup dalam lingkungan kaum keluarga mereka sendiri. Mereka
bagaikan hidup dalam satu masyarakat kecil yang lain yang mempunyai undang-undang
sendiri. Syed Hussain dan Syed Jaafar adalah contoh kepada masyarakat
Islam yang hidup sedemikian rupa. Mereka mempunyai keluarga yang
besar termasuk hamba dan mentadbirkannya dengan peraturan-peraturan mereka
sendiri yang bersumberkan Undang-Undang Islam.
Dalam hal-hal seperti yang
disebutkan di atas, kerajaan Inggeris tidak memberikan apa-apa perhatian
kerana seperti yang telah disebutkan tadi, memang menjadi dasarnya untuk
tidak campur tangan dalam hal ehwal agama masyarakat Islam. Oleh
yang demikian, di sini kita dapat satu gambaran tentang corak hidup masyarakat
Islam yang berkelompok dan terpisah antara satu sama lain dalam ruang lingkup
pengaruh ketua agama atau kaum keluarga masing-masing tanpa mengambil kira
matlamat dan tujuan sebenar ketua mereka bagi yang mengikut mana-mana perkumpulan
agama. Keadaan ini berterusan sehingga abad 20 tanpa perhatian daripada
mana-mana pihak, kecuali para reformis Islam yang muncul pada abad ke 20.
Namun begitu, mereka hanya mampu memberi teguran-teguran sahaja kerana
mereka tidak memiliki apa-apa kuasa untuk mengawal keadaaan ini.
Di samping kelompok yang
telah disebutkan di atas tadi, ada kelompok yang lain, iaitu mereka yang
tidak kuat dan tidak kukuh pegangan pada agama dan adat. Sebaliknya,
mereka ini lebih gemar kepada hidup berpoya-poya sehingga melanggar batas-batas
dan hukum agama serta adat biar pun tidak diketahui dengan jelas tentang
ilmu dan amal agama mereka. Sebagai contohnya, orang-orang Melayu
dan Arab yang kaya raya gemar minum minuman keras walaupun di khalayak
ramai. Ada juga yang gemar menghisap candu sehingga mendorong mereka melakukan
rompakan di kedai-kedai menjual candu.
Selain daripada itu, terdapat
juga orang-orang Islam yang terlibat dengan kegiatan pakatan sulit atau
kongsi gelap khasnya yang dikenali sebagai kumpulan Bendera Putih dan Bendera
Merah. Kumpulan pakatan sulit ini sering terlibat dalam kegiatan
jenayah yang adakalanya bergabung dengan kongsi-kongsi gelap Cina. Dalam
rusuhan yang berlaku pada tahun 1867, di Pulau Pinang antara kongsi-kongai
gelap ini, ramai orang-orang Islam yang terlibat. Biasanya orang-orang
Islam yang menjadi ahli kepada kumpulan kongai gelap ini adalah mereka
yang dicap sebagai yang 'berkelakuan jahat'. Oleh yang demikian,
kemungkinan tidak dapat ditolak bahawa mereka adalah terdiri daripada kelompok
yang suka hidup berpoya-poya dan tidak mempunyai asas agama yang kukuh
telah diperkatakan tadi.
Melihatkan kepada keadaan
masyarakat Islam amnya dan Melayu khasnya di Pulau Pinang ini, timbul satu
persoalan pula, mengapa mereka berkeadaan demikian?. Yang cenderung kepada
hidup beragama hidup berkelompok-kelompok dengan ketua agama masing-masing.
Yang lain pula terlibat dengan jenayah dan pakatan sulit. Inilah
kesan yang timbul akibat daripada dasar kerajaan Inggeris yang tidak mahu
ambil peduli tentang hal ehwal agama masyarakat Islam dan tidak mahu menubuhkan
satu-satu institusi agama yang boleh mengendali dan mengawalkan masyarakat
Islam dalam hal ehwal tersebut. Di samping itu, masalah kepimpinan
agama yang tidak teratur dan terurus juga dipercayai menjadi punca kepada
masalah ini.
Institusi Terawal (Qadhi)
Seperti yang telah disebutkan
tadi, qadhi-qadhi yang dilantik secara rasmi oleh kerajaan Inggeris untuk
menjalankan tugas-tugas yang berkaitan dengan agama dalam masyarakat Islam.
Tidaklah dapat diketahui dengan jelas yang tepat berkenaan dengan perlantikan
qadhi yang pertama dalam masyarakat Islam Pulau Pinang. Namun begitu,
boleh dikatakan bahawa sejak awal abad 19 jawatan ini telah wujud.
Ini adalah berdasarkan kepada adanya seorang qadhi yang begitu terkenal
di Telok Air Tawar Seberang Perai sekitar pertengahan abad ke 19.
Sistem perlantikan seseorang
qadhi di satu-satu daerah itu sangat mudah dilakukan. Kerajaan Inggeris
hanya menyerahkan kepada masyarakat Islam berkenaan untuk memilih orang
yang mereka mahu lantik sebagai qadhi. Apabila telah ditemui calon
yang difikirkan layak, maka masyarakat Islam berkenaan akan memaklumkannya
kepada kerajaan Inggeris dan kerajaan akan mengeluarkan surat tauliah untuknya.
Dengan itu terlantiklah orang berkenaan sebagai qadhi. Dasar kerajaan ini
telah menimbulkan fenomena munculnya qadhi-qadhi yang berbeza mengikut
kaum. Misalnya, dalam kalangan masyarakat India Muslim qadhinya berketurunan
India Muslim, manakala dalam kalangan masyarakat Arab pula qadhinya juga
berketurunan Arab. Keadaan ini menyebabkan integrasi kaum dalam masyarakat
Islam Pulau Pinang menjadi sangat terbatas.
Bidang kuasa yang diberikan
kepada para qadhi ini sangatlah kecil. Selain daripada menguruskan
tentang perihal nikah kahwin dan perceraian dalam kalangan masyarakat Islam
di daerahnya, mereka juga mempunyai kuasa untuk melantik imam-imam dan
bilal yang bertugas di masjid-masjid tertentu. Walau bagaimanapun,
dalam keadaan tertentu masjid-masjid yang kebanyakannya didirikan oleh
pihak-pihak tertentu biasanya dikendalikan oleh pihak yang mendirikannya.
Mereka sendiri yang melantik imam dan bilal bagi masjid berkenaan.
Sebagai contohnya, apabila Syed Muhammad Syafie mendirikan sebuah masjid
di Kampung Seronok, beliau melantik dirinya sebagai imam masjid tersebut.
Oleh yang demikian, dalam erti kata yang sebenarnya, kuasa perlantikan
oleh qadhi-qadhi ini tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya.
Keadaan ini sebenarnya lama kelamaan telah menimbulkan rasa tidak puas
hati dan rasa kecurigaan kepada qadhi dan orang Islam yang lain.
Namun begitu, tiada apa-apa yang dapat dilakukan mengenainya kerana para
qadhi ini tiada kuasa untuk melucutkan jawatan-jawatan imam tersebut biar
pun ada di antara imam-imam itu yang disyaki cuba menyebarkan ajaran-ajaran
agama yang bercanggah dengan Islam.
Dengan bidang kuasa yang
sedemikian kecil, maka sudah tentulah para qadhi yang dilantik ini tidak
dapat menangani masalah-masalah agama yang timbul dalam kalangan masyarakat
Islam di bawah kawalannya. Lebih-lebih lagi jika ada guru-guru agama
yang lebih berpengaruh dan lebih disukai oleh orang-orang Islam daripada
para qadhi ini, walaupun ada antara guru-guru agama ini yang mempunyai
kepentingan peribadi dalam meluaskan pengaruh mereka.
Lembaga Penasihat Islam
Pada awal abad ke 20, timbullah
rasa tidak puas hati dan rasa keterabaian dalam kalangan masyarakat Islam.
Mereka ini, terutama yang begitu prihatin terhadap kemaslahatan orang Islam
merasakan bahawa perlu ada perhubungan secara langsung antara masyarakat
Islam dengan kerajaan melalui sesebuah institusi. Dengan cara ini,
segala masalah yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam dapat diputuskan
secara bersama dengan kerajaan Inggeris. Satu perkara menarik berkenaan
dengan isu tidak puas hati ini, ia bukan sahaja muncul dalam kalangan orang
Islam, tetapi juga pada sesetengah pegawai Inggeris, contohnya Hugh Fort
yang telah membawa isu ini untuk dibincangkan dalam Majlis Legislatif.
Mereka meminta supaya kerajaan melantik satu jurucakap bagi pihak masyarakat
Islam seperti yang terdapat pada masyarakat Cina. Akhirnya, setelah
perbincangan demi perbincangan diadakan, pada tahun 1915 kerajaan Inggeris
telah menubuhkan Lembaga Penasihat Islam (Muslim Advisory Board) di Singapura
dan Pulau Pinang.
Mereka yang menjadi ahli
Lembaga Penasihat Islam adalah terdiri daripada orang-orang Arab, India
Muslim dan Melayu yang berpengaruh dalam masyarakat Islam. Namun
begitu tidak dapat dikesan mereka yang menganggotai lembaga ini.
Bagi Lembaga Penasihat Islam Singapura, di awal penubuhannya, ia telah
dipengerusikan oleh seorang pegawai Inggeris. Barangkali ini adalah
bertujuan memudahkan perhubungan antara lembaga ini dengan kerajaan Inggeris
biar pun ia kelihatan janggal apabila sebuah institusi Islam diterajui
oleh seorang bukan Islam. Kemungkinan adalah besar bahawa bagi Lembaga
Penasihat Islam Pulau Pinang juga dipengerusikan oleh pegawai Inggeris.
Sumber tentang aktiviti dan bidang tugas Lembaga Penasihat Islam Pulau
Pinang adalah sukar untuk ditemui. Oleh yang demikian, rencana ini
tidak dapat membincangkan secara khusus mengenainya.
Dari segi matlamat utama
penubuhan Lembaga Penasihat Islam ini, ianya jelas bagi Lembaga Penasihat
Islam Singapura iaitu;
|
"The aim was to help the
Government in making decisions about Muslim affairs, with terms like those
of the Chinese, Hindu and Sikh advisory Board, and also channelling advice
and assistance for Muslim in their concerns with the Government". |
Namun begitu, bagi Lembaga
Penasihat Islam Pulau Pinang, tidak dinyatakan secara jelas sama ada ianya
berfungsi untuk menasihati kerajaan berkenaan dengan perkara-perkara agama
Islam atau untuk menasihati masyarakat Islam. Dengan kekaburan ini maka
tentulah sukar untuk dibuat satu rumusan yang tepat berkenaan dengan tugas
dan fungsi lembaga ini. Sejarah perjalanan lembaga ini juga terlalu
sedikit yang diketahui. Namun begitu, keterbatasan fungsi dan keupayaan
Lembaga ini menangani kes-kes yang bersabit dengan Islam jelas kelihatan
apabila tercetusnya satu kontroversi mengenai cara sembelihan binatang
mengikut hukum Islam di Pulau Pinang pada tahun 1930.
Perselisihan bermula apabila
seorang lelaki Muslim didenda RM25 atas tuduhan tidak menyembelih binatang
mengikut hukum Islam dan menyebabkan berlakunya kekejaman ke atas binatang
itu apabila binatang berkenaan masih hidup walaupun lehernya telah dipotong.
Dalam rayuan balasnya, kes ini melibatkan pula seorang pakar perubatan
yang membuat kenyataan berhubung dengan cara penyembelihan binatang mengikut
Islam. Beliau tetap menyatakan bahawa sembelihan tersebut tidak mengikut
Islam walaupun penerangan tentang penyembelihan mengikut Islam telah dikemukakan
oleh seorang Islam yang mahir dalam hal ini. Dalam isu ini, Lembaga
Penasihat Islam tidak tampil ke hadapan untuk memainkan peranan sebagai
sebuah pertubuhan Islam, sekadar menulis tentang kerunsingan mereka tentang
kes itu di dalam akhbar. Oleh yang demikian, kewujudan Lembaga Penasihat
Islam seolah-olah tidak memberi apa-apa makna tambahan pula masyarakat
Islam itu sendiri kurang merujuk atau meminta apa-apa pertolongan daripada
institusi ini.
Peristiwa perselisihan ini
telah memberikan kesan yang agak besar kepada masyarakat Islam Pulau Pinang.
Mereka mula menyedari hakikat bahawa mereka tidak mempunyai badan agama
yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi untuk menangani kes-kes yang sebegitu
rupa lebih-lebih lagi yang melibatkan maruah dan kesucian agama itu sendiri.
Bukan setakat itu, mereka juga mulai sedar tentang wujudnya kegiatan-kegiatan
yang tidak sihat dan yang mencemarkan kemurnian Islam dalam masyarakat
mereka sendiri. Oleh yang demikian, timbullah kesedaran bahawa mereka
perlu memiliki institusi yang lebih berkuasa daripada Lembaga Penasihat
Islam.
Menyorot kepada sejarah perjalanan
Lembaga Penasihat Islam Pulau Pinang ini, kita dapat membuat satu rumusan
di sini bahawa, dalam erti kata yang sebenarnya, Lembaga Penasihat Islam
Pulau Pinang, tidak mempunyai kuasa seperti yang dimiliki oleh badan-badan
agama di negeri-negeri Melayu yang lain. Tidak ada peruntukan kepada
lembaga tersebut untuk membasmi kegiatan-kegiatan yang tidak sihat yang
berlaku dalam masyarakat Islam itu sendiri seperti mengambil tindakan terhadap
mereka yang diketahui menyebarkan ajaran-ajaran agama yang bercanggah dengan
Islam seperti perkumpulan Taslim. Sehingga tahun-tahun 1950an, antara
aktiviti-aktiviti lembaga ini selain daripada mengadakan mesyuarat, mereka
juga telah melantik beberapa orang guru agama untuk mengajar di satu-satu
tempat, contohnya di Pulau Aman, dan berusaha untuk mengadakan sembahyang
Jumaat di penjara.
Majlis dan Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Dalam Mesyuarat Agung UMNO
yang ke 10 yang diadakan di Pulau Pinang, Persatuan Melayu Perlis telah
mencadangkan agar negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu yang belum
mempunyai Pejabat ,Agama dan Majlis Agama, diwujudkan satu pertubuhan seumpama
itu. Berikutan daripada cadangan itu, Majlis Mesyuarat Agung UMNO telah
bersetuju untuk melantik satu jawatankuasa yang akan menyusun dan mengarang
satu peraturan bagi mengadakan serta menjalankan Pejabat Agama dan Majlis
Agama di setiap negeri yang belum mempunyainya. Ini adalah antara usaha-usaha
terawal yang dilakukan untuk menubuhkan sebuah badan agama yang lebih berkuasa
di negeri-negeri yang belum mempunyainya, termasuk Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun sehingga
tahun 1950, tiada apa-apa perkembangan positif yang muncul berhubung dengan
perkara ini sehinggalah ia disuarakan sekali lagi dalam Perjumpaan Alim
Ulama Seluruh Malaya, anjuran UMNO di Muar, Johor. Kali ini, ia dicadangkan
sendiri oleh Tuan Haji Ahmad Mokhtar bin Haji Yusuf, seorang wakil UNNO
dari Pulau Pinang. Beliau mahu agar taraf Jabatan Agama Islam Pulau Pinang
yang bakal ditubuhkan itu mempunyai taraf yang sama dengan jabatan-jabatan
agama negeri yang lain yang bertanggungjawab dan mempunyai kuasa terhadap
hal ehwal dan kebajikan agama Islam. Permohonan ini dibuat atas alasan
bahawa didapati munculnya ramai orang yang mendakwa dirinya sebagai nabi
dan rasul. Beliau bimbang jika keadaan ini tidak disekat, gejala
ini akan bertambah meluas.
Dalam sejarah penubuhan Majlis
Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Pulau Pinang, prosesnya
agak lewat. Biar pun cadangan dan permohonan untuk menubuhkannya
telah dibuat pada tahun 1950, tetapi hanya pada tahun 1955 barulah dapat
dibentuk satu jawatan kuasa untuk mengkaji tentang penubuhannya oleh kerajaan
negeri. Dua tahun berikutnya pula sebuah lagi jawatan kuasa khas dibentuk
atas tujuan yang sama dan akhirnya pada 15/4/59 telah diluluskan oleh Dewan
Undangan Negeri Pulau Pinang satu undang-undang bagi membolehkan penubuhan
Majlis Agama Islam Pulau Pinang iaitu 'Undang-Undang Pentadbiran Ugama
Islam tahun 1959'. Berikutan daripada itu, Majlis Agama Islam Pulau Pinang,
dan Seberang Perai akhirnya telah dapat ditubuhkan dengan rasminya pada
28/7/60. Kelewatan proses penubuhan majlis ini telah dikaitkan dengan
suasana politik yang wujud pada tahun-tahun 1950an yang sedang sibuk dengan
perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada kerajaan
Inggeris.
Dengan tertubuhnya Majlis
Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai, maka kini masyarakat Islam
Pulau Pinang mempunyai sebuah badan rasmi yang akan menguruskan hal ehwal
agama bagi mereka sesuai dengan objektif majlis itu;
1. Untuk melahirkan
sebuah masyarakat Islam yang beriman, bertaqwa dan dinamis dengan menjadikan
Islam sebagai cara hidup serta mengikut dan menghayati ajaran-ajaran Islam
yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
2. Untuk menegakkan keadilan
mengikut hukum-hukum Islam serta mengawal, membasmi murtad, bid'ah dhalalah,
kemungkaran, maksiat, khurafat dan fikiran-fikiran yang menjejaskan Islam.
Yang di Pertua MAIPP
& SP yang pertama ialah Allahyarham Tuan Haji G.M. Yusuff yang
memegang jawatan sehingga tahun 1973.Majlis ini hanya mempunyai 6 orang
kakitangan Yang mengendalikan bahagian-bahagian tertentu.
Jelas di sini bahawa fungsi
MAIPP & SP telah diperluaskan berbanding dengan fungsi Lembaga Penasihat
Islam. Urusan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam kini boleh dirujuk
kepada majlis ini yang memperlihatkan bahawa masyarakat Islam Pulau Pinang
kini mempunyai organisasi mereka sendiri. Cabang-cabang dalam pentadbiran
majlis ini diperluaskan lagi tahun demi tahun, contohnya kini, majlis mempunyai
bahagian penerangan, pelajaran dan pendidikan yang bertanggungjawab meningkatkan
dan mengemaskinikan masyarakat dalam memahami ajaran Islam yang sebenarnya
dan dapat mengelakkan masyarakat dari ajaran yang sesat, bahagian dakwah
dan bahagian penguatkuasa serta pendakwaan.
Sehubungan dengan tertubuhnya
Majlis Agama Negeri ini, satu rang undang-undang yang berkaitan telah diwujudkan.
Undang-undang ini dikenali sebagai Undang-undang Pentadbiran Agama Islam
tahun 1959. Undang-undang ini mencakupi pelbagai jenis undang-undang
yang berkaitan dengan Islam termasuklah yang berkenaan dengan pengajaran
atau penyampaian tentang Islam kepada orang ramai. Contohnya, dalam
artikel 158, ada menyebutkan bahawa,
"Barang siapa mengajar atau
bersyarah di hadapan orang ramai suatu ajaran atau melakukan suatu istiadat
atau perbuatan yang bersabit dengan negara Islam dengan sesuatu cara yang
berlawanan dengan hukum Syarak, hendaklah menjadi salah bagi suatu kesalahan
yang boleh dihukum dengan penjara selama tidak lebih daripada 3 bulan atau
dengan denda sebanyak tidak lebih daripada dua ratus lima puluh ringgit".
Dengan adanya undang-undang
seperti ini, kini kegiatan masyarakat Islam Pulau Pinang lebih terkawal
dalam ertikata bahawa masyarakat Islam Pulau Pinang tidak boleh lagi melakukan
dengan sewenang-wenangnya apa-apa perbuatan yang bertentangan dengan hukum
Islam seperti menyebarkan ajaran-ajaran yang diragui kebenarannya.
Dan jika ia berlaku MAIPP akan segera mengambil tindakan yang sewajarnya
seperti yang berlaku pada penyebar ajaran Crypto.
Kesimpulan.
Masyarakat Islam walau di
mana jua mereka berada pada umumnya perlukan sesebuah institusi atau organisasi
Islam untuk mengendalikan hal ehwal dan kebajikan mereka, terutamanya dalam
perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam. Begitulah juga halnya
dengan masyarakat Islam Pulau Pinang yang mempunyai latar belakang sejarah
yang menarik dan berbeza dari masyarakat Islam di negeri-negeri Melayu
yang lain. Pada peringkat awal pembentukannya, masyarakat Islam Pulau
Pinang bagai ayam kehilangan ibu, lantaran tidak mempunyai suatu badan
agama yang boleh mengendalikan hal ehwal agama Islam untuk mereka. Hanya
setelah hampir tiga perempat abad barulah Pulau Pinang berjaya memiliki
badan agama yang seumpama itu. Ternyata keadaan ini mempunyai hubungan
yang sungguh rapat dengan dasar Inggeris pada masa silam. |