Umum   |   Perkhidmatan   |   Borang   |   Bahagian   |   Masjid    Pautan   |   Aduan   |   Utama


 

 

“ Bagaimana cara untuk kita mengisi balang kaca dengan bola pingpong, batu-batu kecil, tanah dan air supaya supaya semua ruang di dalam balang kaca tersebut dipenuhi tanpa ada  ruang walau sedikit pun? Sudah tentu kita isikan bola pingpong terlebih dahulu, diikuti dengan batu, tanah dan diakhiri dengan air. Barulah setiap ruang di dalam balang kaca tersebut  dapat dipenuhkan. Itulah ibaratnya kepentingan untuk kita memahami ‘keutamaan’ (priority) dalam kehidupan supaya tiada berlaku kepincangan,” jelas Dr. Farid

 

KELAS TAFAQQUH FID DIN


Unit Takmir, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, JAIPP telah menganjurkan Kelas Tafaqquh Fid Din kepada guru-guru takmir Negeri Pulau Pinang (Zon Pulau) pada 19 September 2008, bermula jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat, JAIPP. Program tersebut yang turut disertai oleh pegawai dan kakitangan JAIPP telah membincangkan tajuk “Konsep Aqidah dan Kerohanian Dalam Islam”. Penceramah yang dijemput untuk mengupas tajuk tersebut ialah Dr. Mohd Farid bin Mohd Sharif (Pensyarah di Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM).

Antara yang menarik diperbincangkan berkaitan tajuk tersebut ialah hakikat Aqidah yang diibaratkan seperti 2 perkara utama:

  1. Ibarat batang yang subur kepada sepohon pokok di mana semua ranting pokok berkenaan amat memerlukannya untuk mendapat ruang supaya boleh tumbuh dan berkembang di atasnya.
  2. Ibarat akar yang menjadi tunjang kepada sepohon pokok di mana seluruh struktur pokok amat memerlukannya untuk memastikan agar ia terus lestari.

 

Turut dikupas ialah mengenai aspek Aqidah Islam yang sederhana dan seimbang antara 2 sudut ekstrim dan menekankan kelestarian kedua-dua unsur kejadian manusia iaitu jasad dan roh. Selain itu, dijelaskan juga tentang tasawuf dan tarekat serta hubungan akrab yang tidak boleh dipisahkan antara kedua-duanya dengan syariah. Jika dipisahkan, ia boleh membawa kepada kepincangan dan kerosakan atau dikenali sebagai ‘ajaran sesat’. Imam Malik bin Anas ada menyebutkan bahawa:

“ Seseorang yang mempelajari fiqh tetapi mengabaikan tasawuf, maka sesungguhnya dia menjadi fasiq; seseorang yang mempelajari tasawuf tetapi mengabaikan fiqh, maka sesungguhnya dia menjadi zindiq; dan seseorang yang menghimpunkan kedua-duanya merupakan seorang yang berjaya merealisasikan kebenaran”.

Kepada semua pendakwah pula, telah dinasihatkan dengan meminjam ungkapan daripada Dr. ‘Abdul Karim Zaidan supaya menjadi seperti sepohon buahan. Walaupun dilempar dengan batu dan objek keras, pohon tetap menggugurkan buah kepada si pelempar batu. Wallaua’lam.