PROGRAM LIBAT URUS AGENSI-AGENSI KERAJAAN BERSAMA SEKOLAH-SEKOLAH ISLAM NEGERI PULAU PINANG SIRI I/2023
Pada 9 Mei 2023 (Selasa) telah berlangsung Program Libat Urus Agensi-Agensi Kerajaan Bersama Sekolah-Sekolah Islam Negeri Pulau Pinang Siri 1/2023 bertempat di Eastin Hotel, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Program ini melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Majlis ini telah dihadiri dan perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Zulkifli bin Rashid, Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang manakala kata-kata aluan telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ustaz Mohd Arif bin Abdul Samat, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Program kolaborasi libat urus (ceramah/taklimat) ini telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ustaz Mohd As'ari bin Abdan, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Keurusetiaan, Bahagian Keurusetiaan Dan Hubungan Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yang Berusaha Tuan Izham bin Idris, Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK), Bahagian Visa, Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang dan Yang Berusaha Ustaz Mohamad Faizal bin Najmuddin, Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Peserta program adalah terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Jemaah Pengurusan Sekolah, Pengetua@Mudir juga Timbalan, guru besar, guru-guru, pegawai pentadbiran dan juga wakil Institusi Pendidikan Islam Negeri Pulau Pinang, manakala kategori institusi Pendidikan Islam pula ialah Pusat Pengajian Al-Quran (PPQ), Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Pondok, Maahad Tahfiz dan semua Institusi Pendidikan Islam berdaftar sementara di bawah JHEAIPP.
Tujuan utama program ini dianjurkan adalah untuk menyalurkan maklumat berkaitan permohonan Visa Ikhtisas pelajar dan tenaga pengajar luar negara untuk belajar atau mengajar di Sekolah-Sekolah Islam khususnya di negeri Pulau Pinang. Ia seterusnya memudahkan para pentadbir sekolah menghantar permohonan dengan lengkap dan diproses oleh jabatan berkaitan. Selain itu, berkongsi maklumat berkenaan Pengurusan Pendidikan Islam di Negeri Pulau Pinang.
Di Negeri Pulau Pinang terdapat 146 buah Sekolah-sekolah Islam Negeri Pulau Pinang yang berdaftar di dalam sistem Ikhtisas JAKIM. Pada tahun 2021 seramai 43 orang tenaga pengajar dan 146 orang pelajar telah lulus sokongan pas lawatan ikhtisas manakala tahun 2022 pula sebanyak 93 orang tenaga pengajar dan 161 orang pelajar telah lulus sokongan pas lawatan ikhtisas berkenaan.
Lelah berjalan di tengah pekan, Singgah sebentar di warung Siti, Terima kasih kami ucapkan, Atas segala jasa dan bakti.
Dari sintok ke Tanjung Jati, Singgah sebentar menghilang dahaga, Terima kasih sekalung budi, Atas komitmen tuan/puan bersama-sama.