Pada hari ini telah diadakan Majlis Pra-Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (MTHQK) yang disempurnakan oleh YB. Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di AC Hotel by Marriott, Pulau Pinang.
Turut hadir adalah YB. Dato' Ir Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB. Dato' Mohd Sayuthi bin Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato' Seri Dr Wan Salim Wan bin Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan YBrs Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM.
Pulau Pinang menjadi tuan rumah bagi penganjuran MTHQK 2023 yang akan berlangsung mulai 11 hingga 16 Jun 2023 dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang.
Perasmian MTHQK akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 11 Jun 2023 manakala Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah pula akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Majlis ini juga akan bersiaran langsung di saluran TV1 RTM, TV Al-Hijrah, radio-radio milik RTM, radio IKIM FM, WEB TV JAKIM dan di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM.