Portal Rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang

  • faq
  • hubungi
  • maklumbalas
  • peta

Prosedur Permohonan Kahwin Perempuan

MAKLUMAT UMUM


WALI


Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah. Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan mengikut hukum syarak.


JENIS-JENIS PERKAHWINAN YANG DISYARATKAN MENDAPAT KEBENARAN HAKIM SYARIE (MAHKAMAH SYARIAH) TERLEBIH DAHULU

  1. Perkahwinan poligami.
  2. Perkahwinan di bawah umur (bawah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi  perempuan).
  3. Perkahwinan janda berhias dalam tempoh iddah.
  4. Perkahwinan yang memerlukan wali Raja/Hakim.

PERATURAN AM

  1. Borang permohonan boleh dihantar seawal-awalnya 90 hari dari tarikh akad nikah atau selewat-lewatnya 7  hari sebelum tarikh akad nikah. 
  2. Pemohon dikehendaki menjalani Ujian Saringan HIV di Klinik Kesihatan Kerajaan sahaja.
  3. Pemohon hendaklah bermastautin di dalam Negeri Pulau Pinang.
  4. Pemohon yang ingin berkahwin lain sama ada kerana bercerai atau kematian pasangan tidak disyaratkan  menghadiri kursus praperkahwinan sekali lagi.
  5. Bayaran bagi satu Majlis Akad Nikah ialah RM130.00 yang perlu dibayar kepada Penolong Pendaftar Nikah (Juru Nikah) selepas Akad Nikah berlangsung.
  6. Pemohon yang berkahwin di Pulau Pinang dikehendaki mengisi Borang kad Nikah (seperti Dilampirkan) dan bayaran adalah RM60.00 (2 keping kad).

 

TATACARA SEMASA DAN SELEPAS AKAD NIKAH

  1. Akad nikah dijalankan di kariah masjid pihak  perempuan bermastautin.
  2. Selepas akadnikah, suami diminta membaca lafaz penerimaan tanggungjawab dan ta’liq serta menandatangani Surat Makluman Akad Nikah (Surat Nikah Sementara) dan Surat Perakuan Nikah.
  3. Surat Makluman Akad Nikah  akan diserahkan kepada suami sejurus selepas akad nikah.
  4. Suami atau isteri boleh mendapatkan Surat Perakuan Nikah (Asal) di Pejabat Agama Daerah berkenaan 5 hari selepas akad nikah dengan bayaran RM10.00.
  5. Surat Perakuan Nikah tidak boleh dilaminate.

PROSEDUR PERMOHONAN KEBENARAN BERKAHWIN (PEREMPUAN)

1. Dapatkan Borang 2 ( Permohonan Kebenaran Berkahwin untuk Perempuan) percuma di Pejabat Agama Daerah atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang atau boleh dimuat turun dari laman web jabatan ini.

2. Lengkapkan borang dan lampirkan dokumen-dokumen berikut :

  • Salinan kad pengenalan pemohon, bakal suami dan wali atau pasport (Jika pemohon warganegara asing).
  • Salinan Sijil Kursus Pra Perkahwinan.
  • Borang Ujian Saringan HIV.
  • Surat Perakuan Perceraian( jika pemohon janda).
  • Salinan kenyataan Islam ( jika pemohon memeluk Islam).
  • Salinan Sijil Perakuan Nikah Ibu Bapa Kandung.(jika berkenaan)
  • Surat Akuan Bersumpah jika Salinan Sijil Perakuan Nikah Ibu Bapa tidak ada.
  • Kelulusan daripada KAGAT/PDRM ( jika anggota Tentera/Polis).
  • Borang wakalah wali ( jika perempuan yang walinya mahu mewakilkan akad nikah)
  • Salinan Sijil Kematian (jika suami atau bapa meninggal dunia).

 

  • Kebenaran Berkahwin Pasangan Laki-Laki.
  1. Pastikan borang permohonan disokong oleh 2 orang Ahli Jawatankuasa Qaryah atau Pegawai Masjid berserta cop rasmi qaryah untuk pengesahan butiran pemohon kecuali Saudara Baru boleh disahkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. 
  2. Pastikan borang permohonan berserta dokumen-dokumen yang dilampirkan dibawa kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ di Pejabat Agama Daerah untuk temubual wali dan ditandatangani.  Sila pastikan borang tersebut turut dicop oleh Penolong Pendaftar berkenaan. 
  3. Kemukakan borang permohonan ke Pejabat Agama Daerah berkenaan dengan bayaran RM5.00 untuk mendapatkan Kebenaran Berkahwin.  Sila pastikan resit rasmi bayaran diterima oleh pemohon. 

Kemaskini 25 Oktober 2016

 

Prosedur Permohonan Salinan Surat Nikah / Cerai / Ruju'

  • Mengisi Borang 18  Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam.  (Borang percuma tersebut boleh diambil di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan semua Pejabat Agama Daerah) atau boleh dimuat turun melalui laman web jabatan ini. 
  • Pemohon boleh menuntut salinan sijil nikah /cerai / ruju’ di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang selepas tempoh 5 hari setelah permohonan lengkap diterima dan bayaran yang dikenakan adalah RM10.00.

Bagi permohonan untuk mendapatkan salinan Sijil Perakuan Perceraian, pemohon perlu mengemukakan SURAT AKUAN BERSUMPAH dari Pendaftar Pesuruhjaya Sumpah dengan menyatakan tujuan salinan tersebut dipohon.

Sila pastikan pemohon mendapatkan slip Carian Salinan NCR sebelum meninggalkan kaunter.

Sebarang Pertanyaan Sila hubungi Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam ditalian 04-262 6814 sambungan 148/153

Pengeluaran Salinan Sijil adalah tertakluk kepada kelancaran Sistem.

Sejarah

Sejarah pentadbiran Islam di Pulau Pinang agak berbeza jika dibandingkan dengan negeri-negeri Melayu yang lain.  Perbezaan ini berpunca daripada sejarah pembentukan dan struktur masyarakat Islam Pulau Pinang khususnya dan juga dasar-dasar Inggeris yang memerintah Pulau Pinang sejak 1786. Pulau Pinang adalah antara negeri yang paling lewat mempunyai badan pentadbiran Islam.  Sejarah masyarakat Islam Pulau Pinang menarik terutama berkenaan dengan corak kehidupan mereka sejak ia mula terbentuk sehingga ke abad ke 20, sama ada terlibat dengan perkumpulan agama yang diragui kebenarannya dan pada awal abad yang ke 20 pula ia menjadi pusat gerakan para reformis.

Rencana ini ditulis adalah bertujuan untuk menyingkap kembali sejarah pembentukan komuniti Islam Pulau Pinang dan suasana kehidupan masyarakat serta badan-badan atau jawatan-jawatan yang berkaitan dengan pentadbiran Islam di negeri tersebut.  Tidak ketinggalan, rencana ini juga akan meninjau dasar Inggeris yang berkaitan dengan Islam kerana ianya mempunyai pengaruh yang besar di atas kemunculan masalah-masalah sosial masyarakat Islam dan kelemahan pentadbiran Islam di negeri itu sebelum merdeka.

Pembentukan awal komuniti Islam Pulau Pinang.

Kebanyakan pengkaji-pengkaji sejarah Pulau Pinang menyatakan bahawa sebelum pembukaan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light pada Julai 1786, pulau itu hanya di penuhi dengan hutan belantara dan hampir tidak berpenghuni, kalau ada pun hanya sebilangan kecil orang Melayu sahaja.  Namun begitu, ada juga yang menyatakan bahawa sebelum Francis Light mendarat di pulau itu, ianya telah duduki oleh orang Melayu di kawasan-kawasan tertentu yang bekerja sebagai nelayan, pedagang, pelebur timah dan juga yang menjadi lanun. Kenyataan ini diperkuatkan lagi dengan laporan yang menyebut bahawa rombongan Inggeris itu telah bertemu dengan sekumpulan penduduk di tepi pantai di kawasan yang dikenali sebagai Datuk Kramat. Mereka ini terdiri daripada laki-laki, perempuan dan kanak-kanak yang diketuai oleh seorang laki-laki yang dikenali sebagai Nakhoda Kechil. Dalam laporan yang lain pula menyatakan bahawa Pulau Pinang telah diduduki oleh sekumpulan orang Melayu sejak dari tahun 1705 lagi, iaitu di kawasan tebing selatan Sungai Pinang.

Daripada catatan itu adalah jelas bahawa penduduk terawal Pulau Pinang adalah orang Melayu sama ada yang berhijrah dari Semenanjung mahu pun dari kepulauan Melayu Yang lain.  Namun begitu, dalam perkembangan Pulau Pinang yang semakin meningkat di bawah pentadbiran Inggeris, orang-orang Melayu jauh ketinggalan berbanding dengan kaum lain yang datang kemudiannya. Bukanlah menjadi hasrat rencana ini untuk membincangkan faktor-faktor yang membawa kepada kepincangan ini, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa sumbangan kerajaan Inggeris adalah besar sekali kerana ada yang menyebutkan bahawa hubungan kerajaan Inggeris dan masyarakat Melayu hampir tidak ada langsung berbanding dengan kaum Cina dan India terutamanya.

Dari segi perkembangan kependudukannya, ketandusan penduduk di Pulau Pinang telah berubah wajah apabila pulau itu cuba dimajukan oleh pihak Inggeris sebagai sebuah pelabuhan perdagangan bebas yang utama di Nusantara.  Pulau Pinang mula dibanjiri oleh berbagai-bagai jenis kaum dan bangsa yang berkebanyakannya bertujuan untuk berdagang dan tidak kurang juga yang mencari penempatan baru.  Situasi ini bertepatan dengan matlamat Francis Light yang ingin melihat Pulau Pinang maju dari segi perdagangan.  Menurut L. A. Mills penduduk Pulau Pinang bertambah pesat, dalam tempoh dua tahun selepas penerokaannya.  Penduduk pulau itu telah bertambah kepada 1,000 orang dan sehingga tahun 1804 pula ia meningkat menjadi 12,000.

Sebutharga / Tender

Tiada Sebutharga / Tender buat masa ini.

Subcategories

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Negeri Pulau Pinang
Lebuh Pantai, 10300 Pulau Pinang
  04-684 7000 | 04-2502810
| jheaipp[a]penang[dot]gov[dot]my

jata jakim msc penang

text-center

Image
  • Latest Updated: 09 May 2024 

Total Visitor: 1930890

Best viewed using a minimum screen resolution of 1336x768 on the latest version of the Mozilla Firefox web browser

All Rights Reserved To Pulau Pinang Islamic Religious Affairs Department © 2024